SEPANG, 29 OKT: Dato' Menteri Besar mengajak rakyat negeri ini supaya terus bermuhasabah diri dengan menjadikan bencana yang melanda sebagai pedoman penting dalam kehidupan.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata bencana yang melanda Selangor adalah detik mencabar kerana ujian yang datang bertimpa-timpa bermula dengan pandemik memberi kesan ekonomi dan dikuti banjir besar.
"Sewajarnya bencana melanda kita hadam dan fahami dengan muhasabah diri. Ada pengajaran penting yang kita boleh ambil jadikan pedoman dalam kehidupan kini dan masa depan.
"Di peringkat negeri, kita akan sentiasa mencuba meningkatkan perkhidmatan yang bermula dengan satu perkara kepada perkara lain agar dapat tingkatkan dan perbaiki supaya lebih ramai memahami," katanya.
Beliau berucap pada program penggerak masjid di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan pentadbiran masjid supaya menerima kedatangan mana-mana individu biarpun berlainan fahaman politik.
"Masjid merupakan wadah kepada semua umat Islam selagi mereka beriman kepada Allah SWT. Alu-alukan kehadiran mereka secara profesional dan neutral biarpun berbeza fahaman politik.
"Rumah Allah harus dijadikan rumah untuk semua umat Islam kerana itu nilai kekuatan dan penilaian ukhuwah dalam persaudaraan," katanya.


