AGENDA

49 projek khas jangka panjang bantu majukan Gombak

21 Okt 2022, 6:47 AM
49 projek khas jangka panjang bantu majukan Gombak

RAWANG, 21 OKT: Sebanyak 49 projek dicadang dibangunkan melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Batu Arang 2030 yang memberi dampak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi Gombak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 11 daripadanya projek berdampak tinggi, 21 projek sokongan dan selebihnya projek jangka pendek untuk dilaksana dalam masa terdekat.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri meletakkan komitmen sepenuhnya kepada setiap inci kawasan. Kita ingin lihat pembangunan serta pertumbuhan negeri tidak hanya bertumpu di bandar.

“Pada masa sama, melihat segenap inci lokaliti dengan mengenal pasti potensi yang wujud di kawasan tersebut,” katanya merasmikan publisiti dan penyertaan awam draf RKK tersebut di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Selangor juga tekad memperkasa aspek perancangan bandar dan desa berpandukan rancangan struktur negeri, tempatan serta kawasan khas.

“Rancangan pembangunan perlu dilaksana dengan penuh integriti, cekap dan telus agar menghasilkan persekitaran harmoni, berkualiti serta mampan untuk manfaat generasi hari ini dan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Mohd Yazid Sairi berkata 17 projek jangka pendek akan dilaksana bersama jabatan teknikal dan pemegang taruh melalui kaedah penswastaan.

Menurutnya, fasa dan cadangan pembangunan kemudahan tertumpu di beberapa kawasan pelancongan serta pusat bandar utama yang bakal memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.