AGENDA

Selangor selesaikan isu rumah, tanah selepas BN gagal tunai janji

13 Sep 2022, 6:32 AM
Selangor selesaikan isu rumah, tanah selepas BN gagal tunai janji
Selangor selesaikan isu rumah, tanah selepas BN gagal tunai janji

SHAH ALAM 13 SEPT: Kerajaan Selangor tuntas menunaikan janji yang diumumkan kepada rakyat termasuk menyelesaikan isu tertunggak yang gagal dilunaskan Barisan Nasional (BN).

Menurut Dato' Menteri Besar, antara yang dijanjikan tetapi tidak dipenuhi pentadbiran terdahulu ialah pemberian sebidang tanah kepada pasukan bola sepak Selangor 1995.

"Ada antara mereka telah meninggal dunia dan tidak dapat merasai ganjaran yang telah dijanjikan," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Beliau berkata isu lain termasuk penantian 107 keluarga di Taman Yu Indah, Kuala Selangor selama 26 tahun untuk menerima rumah meskipun enam menteri besar bertukar ganti.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu berakhir semalam apabila Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan berjaya menyiapkan unit rumah tersebut dan menyerahkan kepada peserta.

[caption id="attachment_538020" align="aligncenter" width="709"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri dari atas, tengah) bersama pemain bola sepak Selangor 1995 selepas menyerahkan kunci Rumah Idaman Selangor sempena Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

"Kerajaan Negeri akan terus tuntas menunaikan janji yang diumumkan dan pada masa sama berusaha menunaikan janji kerajaan terdahulu yang tertunggak sehingga menyusahkan rakyat," kata Amirudin.

Pada Jun lalu, seramai 31 bekas pemain dan pegawai skuad Selangor yang menjulang Piala Malaysia pada 1995 menerima tawaran Rumah Idaman Abadi di Kajang 2, mukim Semenyih.

Simbolik penyerahan kunci rumah dibuat Amirudin pada 30 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Berikutan itu, mereka dijanjikan tanah 0.4 hektar oleh mantan Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tetapi tidak ditunaikan menyebabkan skuad berkenaan meminta bantuan Amirudin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.