AGENDA

Kejohanan Dunia: Beregu campuran Soon Huat-Shevon layak ke suku akhir

25 Ogos 2022, 6:51 AM
Kejohanan Dunia: Beregu campuran Soon Huat-Shevon layak ke suku akhir

SHAH ALAM, 25 OGOS: Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi wakil pertama Malaysia melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewakan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi.

Di atas kertas, pasangan Perancis itu mempunyai kelebihan dari sudut rekod perlawanan apabila pernah menang dua kali ke atas Shevon-Soon Huat, selain diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, lapor portal Utusan Malaysia.

Begitupun Soon Huat-Shevon yang hadir sebagai pilihan ke-11 membuktikan kemampuan dengan kemenangan 21-16, 21-4 dalam tempoh 38 minit.

Mereka kini perlu menanti pemenang di antara pasangan tuan rumah Yuta Watanabe-Arisa Higashino menentang pasangan Belanda Robin Tabeling -Selena Piek untuk mengetahui lawan mereka di suku akhir esok.

Satu lagi wakil negara dalam acara beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien gagal mara ke suku akhir selepas tewas kepada pilihan ketiga kejohanan Lee Soo Hee-Shin Seung Chan 21-13, 21-16.

Kejutan paling besar dalam Kejohanan Dunia kali ini adalah tersingkirnya pilihan pertama beregu lelaki iaitu Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy dengan keputusan 15-21, 9-21.