ad
AGENDA

MB: Rancangan Selangor pergiat pembangunan, perhebat inisiatif prorakyat

2 Ogos 2022, 8:13 AM
MB: Rancangan Selangor pergiat pembangunan, perhebat inisiatif prorakyat

SHAH ALAM, 2 OGOS: Pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bakal mempergiatkan lagi pembangunan negeri sekali gus merancakkan inisiatif prorakyat, kata Dato' Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan lima tahun itu menyediakan program yang jelas sekali gus menjadi panduan kepada kumpulan perniagaan, syarikat, Kerajaan Negeri dan persekutuan.

"Kita ada Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), pembangunan wilayah stadium dan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang mampu mengujakan serta menambah nilai pembangunan.

"Dengan tarikan program-program dirancang dalam RS-1 membantu mencapai sasaran nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 30 peratus menjelang 2025 walaupun pada awal disasar pada 2030," katanya.

Bercakap dalam sesi penggulungan usul RS-1 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersedia membentang rancangan separuh penggal sepanjang pelaksanaannya.

"Menjelang pertengahan terma lima tahun ini, Kerajaan Negeri masih boleh bentang rancangan separuh penggal terhadap RS-1 sebagaimana dipraktik cara dan kaedah dilaksana dalam Rancangan Malaysia," katanya.

RS-1 yang dibentang Amirudin pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Amirudin juga memaklumkan pelaksanaannya tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Jelasnya, RS-1 juga dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.