AGENDA

Terbuka Singapura: Langkah Soon Huat-Shevon Lai terhenti di separuh akhir

16 Jul 2022, 10:28 AM
Terbuka Singapura: Langkah Soon Huat-Shevon Lai terhenti di separuh akhir

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 16 JULAI: Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlepas tiket final kejohanan Terbuka Singapura, selepas langkah mereka terhenti di separuh akhir hari ini.

Pada aksi mendebarkan selama 65 minit itu, Soon Huat-Shevon tidak memberi jalan mudah kepada Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai untuk melepasi halangan apabila mengheret gandingan Thailand itu ke set penentuan setelah menang set kedua 21-16.

Terdahulu, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan kekasih itu tewas dalam set pertama 21-17.

Bagaimanapun, kesilapan mudah ketika pasangan negara terikat 20-20 pada set penentuan mengundang padah apabila terpaksa akur dengan kehebatan Dechapol-Sapsiree 22-20.

“Lawan kami bermain dengan baik. Mereka lebih agresif dan stabil dari segi perancangan permainan dan pukulan yang konsisten.

“Saya agak gementar sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah pada saat-saat akhir,” kata Shevon Lai.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon melahirkan penghargaan kepada penyokong sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan mereka walapun bukan dalam kalangan rakyat Malaysia yang melaungkan kata-kata semangat ‘Malaysia Boleh’.

Dechapol-Sapsiree yang juga pilihan pertama kejohanan akan membuat perhitungan akhir dengan pasangan China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping pada aksi final esok.

Terdahulu, Wang-Huang yang juga pilihan ketiga menang mudah ke atas rakan senegara Guo Sin Wa-Zhang Shu Xian 21-8, 21-9.

- BERNAMA