ad
AGENDA

Operasi bersepadu dilaksana bagi bendung ketirisan barangan bersubsidi

5 Jul 2022, 1:05 AM
Operasi bersepadu dilaksana bagi bendung ketirisan barangan bersubsidi

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak peket melalui operasi bersepadu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi tersebut sebagai usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi khususnya minyak masak.

“Satu perjumpaan melibatkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM dengan Ketua Setiausaha KPDNHEP diadakan semalam dan kami bersetuju melaksanakan operasi dengan tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDNHEP bagi tindakan lanjut.

PDRM menyambut baik kerjasama Op Bersepadu yang dijalin dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran (kenaikan) kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Selain itu, Acryl Sani berkata pihaknya menerusi Op Kontraban berjaya merampas barangan bersubsidi bernilai RM38,247,518 yang diseleweng bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya daripada jumlah itu, rampasan melibatkan minyak masak bernilai RM854,252.

“Usaha bersepadu dengan pihak KPDNHEP merupakan langkah positif bagi PDRM menyumbang secara lebih aktif dalam membendung ketirisan subsidi," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.