AGENSI

Sukan rakyat, pelbagai pertandingan jadi tarikan ke jelajah bantuan rakyat

22 Jun 2022, 3:29 AM
Sukan rakyat, pelbagai pertandingan jadi tarikan ke jelajah bantuan rakyat
Sukan rakyat, pelbagai pertandingan jadi tarikan ke jelajah bantuan rakyat
Sukan rakyat, pelbagai pertandingan jadi tarikan ke jelajah bantuan rakyat

SHAH ALAM, 22 JUN: Seorang pelajar tidak menyangka percubaan ‘suka-suka’ menyertai acara dalam program Jelajah Selangor Penyayang di Taman Kosas, Ampang pada Ahad lalu membuahkan hasil.

Nur Alisya Maisarah Asrizal, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas berkata dia dan pasukannya berjaya menjuarai pertandingan bola jaring berkain batik sekali gus membawa hadiah wang tunai RM500.

[caption id="attachment_526773" align="alignleft" width="200"] Nur Alisya Maisarah Asrizal[/caption]

“Ada pertandingan sambut belon berisi air. Saya dengan kawan saja main, tak sangka jadi juara dan dapat hamper berisi makanan. Hanya suka-suka kerana sukan rakyat ini susah nak jumpa.

“Penduduk seronok bila ada acara keramaian macam ini dan mesti ramai mahu ambil peluang mencuba. Harap program ini dianjurkan dengan lebih kerap,” katanya kepada Selangorkini.

Pemenang pertandingan masakan, Kamisah Ibrahim, 50, pula berkata sokongan keluarga menyebabkan dia memberanikan diri memasak mee rebus yang menjadi kegemaran ahli keluarga dan jiran.

[caption id="attachment_526774" align="alignright" width="202"] Kamisah Ibrahim[/caption]

“Selalunya menu ini saya hanya masak ketika raya kerana jiran-jiran, keluarga minta. Mereka kata mee rebus saya sedap tapi sebenarnya tak ada resepi rahsia apa pun.

“Bila jadi juara, saya rasa lebih yakin nak sertai mana-mana pertandingan masakan. Seronok ada program ini dan beri pengalaman baharu,” katanya.

Program bantuan rakyat yang membuka tirai di Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif dijayakan menerusi peruntukan RM600 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antara acara dianjurkan adalah pertandingan gubahan, futsal, e-sukan, cabutan bertuah selain pameran dan jualan.