AGENDA

Lima daerah di Selangor dijangka mengalami hujan lebat hingga jam 11 malam

17 Jun 2022, 12:52 PM
Lima daerah di Selangor dijangka mengalami hujan lebat hingga jam 11 malam

SHAH ALAM, 17 JUN: Lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat diramal mengalami hujan lebat, ribut petir dan angin kencang hingga jam 11 malam ini.

Amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut membabitkan Kuala Lumpur; Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol di Negeri Sembilan; Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong di Pahang; Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak.

Kawasan lain adalah seluruh Perlis dan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling serta Kulim di Kedah.

Menurut MetMalaysia amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.