AGENDA

Pakar perubatan kongsi maklumat kesihatan pada Selangor Saring di Sekinchan Ahad ini

31 Mei 2022, 2:09 AM
Pakar perubatan kongsi maklumat kesihatan pada Selangor Saring di Sekinchan Ahad ini
Pakar perubatan kongsi maklumat kesihatan pada Selangor Saring di Sekinchan Ahad ini

SHAH ALAM, 31 MEI: Sesi ceramah kesihatan akan diadakan pada program kesihatan Selangor Saring Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan pada Ahad ini.

Ahli penasihat kesihatan awam Selangor berkata ceramah itu akan menampilkan pakar bedah dan perubatan dari beberapa hospital seperti Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Program di Sekinchan berbentuk mega dan menyasarkan lebih ramai peserta. Doktor pakar terbabit akan menyampaikan maklumat kesihatan mengikut kepakaran mereka.

“Peserta juga boleh mengajukan sebarang soalan berkenaan kesihatan dalam ceramah yang berlangsung selama dua jam,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli kepada Selangorkini semalam.

Beliau berkata ceramah kesedaran itu bakal dilaksanakan di beberapa lagi lokasi selepas ini sebagai inisiatif menggalakkan penduduk mengutamakan kesihatan masing-masing.

Ahad ini, pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring diadakan di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, masalah obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula pada 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.