SHAH ALAM, 29 MEI: Dato' Seri Amirudin Shari mengajak pimpinan dan semua ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Gombak kembali memperkukuhkan muafakat selepas sesi pemilihan parti berakhir hari ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor itu berkata kerjasama tersebut penting demi merangkul seluruh kekuatan dan bersiap sedia mempertahankannya sebagai kubu kuat parti menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
"Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota KEADILAN Cabang Gombak.
"Sesungguhnya amanah dan kepercayaan ini akan saya galas sebaiknya bagi meneruskan ikhtiar, kerja baik dan usaha kita di Gombak," katanya menerusi Facebook selepas diumumkan berjaya mengekalkan jawatan Ketua Cabang Gombak dalam pemilihan parti.
Amirudin juga merakamkan penghargaan kepada Farhash Wafa Salvador di atas persaingan sihat merebut jawatan berkenaan.
"Ucapan terima kasih turut saya rakamkan buat para petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang telah berjaya memastikan pemilihan di Cabang Gombak berjalan dengan lancar," kata Dato' Menteri Besar Selangor itu.


