SHAH ALAM, 26 MAC: Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) antara pencapaian penting Kerajaan Selangor dalam usaha menangani isu pencemaran dan pengurusan sumber air.
Dato’ Menteri Besar berkata projek itu dibangun bagi meningkatkan kecekapan dan daya tahan pengurusan sumber air dengan menumpukan langkah pencegahan pencemaran air yang lebih efektif.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, SJAM membabitkan pembangunan rangkaian kolam takungan, sistem pemantauan berteknologi tinggi dan penggunaan saluran baharu.
“Kita tangani (isu air mentah tidak cukup) dengan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) yang dibina sejak 2012. Simpanan air (HORAS) boleh bertahan enam hingga sembilan bulan.
“SJAM pula dimulakan 2020 dan siap sepenuhnya 2024. Kalau berlaku pencemaran air itu kita akan keluarkan dari loji rawatan melalui saluran baharu terus ke laut.
“Kita juga sedut dari kolam masuk ke dalam loji rawatan air (LRA) dan boleh bertahan sehingga empat ke lima hari. Selalunya, kita dapat tangani pencemaran paling lewat 48 jam dengan simpanan air boleh tahan dua hingga tiga minggu dan mengelak henti tugas LRA,” katanya.
[caption id="attachment_673176" align="aligncenter" width="712"] Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) meninjau keadaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej B di Kolam ORS Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
Bercakap dalam program ‘Dialog TVS: Menuju Selangor 2030, Apa Strategi MB’ malam tadi, Amirudin berkata aspek kelestarian alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan pentadbirannya dalam merangka dasar.
“Dalam Rancangan Selangor Kedua yang akan dibentang tahun depan, aspek kelestarian alam sekitar terus dititikberatkan.
"Ketika ini kawasan keluasan kawasan Hutan Simpan Kekal mencecah 31 peratus, melebihi dari kadar yang ditetapkan peringkat nasional iaitu 30 peratus,” katanya.
Diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2021, SJAM bertujuan menangani insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah yang turut melibatkan inisiatif rondaan serta pemantauan proaktif 24 jam yang digerakkan Pasukan Tindakan Segera Lembaga Urus Air Selangor.