AGENDA

Empat daerah di Selangor diramal hujan lebat hingga 6 petang

19 Mei 2022, 7:05 AM
Empat daerah di Selangor diramal hujan lebat hingga 6 petang

SHAH ALAM, 19 MEI: Empat daerah di Selangor iaitu Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 6 petang hari ini.

Amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) itu turut membabitkan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran sama hingga jam 5 petang bagi Rompin, Pahang; Kluang, Mersing dan Kulai di Johor; Kuching, Samarahan, Saratok, Kabong, Matu, Dalat dan Lawas di Sarawak; Sipitang, Tuaran, Kota Belud, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan di Sabah.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia di Facebook.

Orang awam boleh merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.