SHAH ALAM, 9 MEI: Sebanyak 3,343 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di Selangor sepanjang 10 hari Op Selamat 18 dilaksanakan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shariat berkata daripada jumlah itu sebanyak 21 kes kemalangan maut direkodkan.
"Semalam sahaja Selangor mencatatkan sejumlah 319 kes kemalangan tetapi tidak membabitkan sebarang kematian.
"Jika dibandingkan jumlah keseluruhan kes dicatatkan pada tahun ini ia menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya ketika dihubungi Selangorkini.
Pada masa sama, Azman menasihatkan pengguna jalan raya terus berhati-hati ketika memandu dan tidak menggunakan telefon bimbit sebaliknya fokus pada pemanduan.
"Kita mohon pengguna jalan raya sentiasa bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri ketika memandu," katanya.
Sebelum ini, JSPT Selangor memaklumkan sebanyak 2,110 kes kemalangan direkodkan pada 2019, namun pada tahun ini ia menurun sebanyak 7.9 peratus.