AGENDA

Ribut petir, hujan di beberapa daerah di Selangor petang ini

9 Mac 2022, 7:00 AM
Ribut petir, hujan di beberapa daerah di Selangor petang ini

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri bermula 3 petang hingga 7 malam ini.

Amaran yang dikeluarkan pada 1.15 tengah hari itu memaklumkan kawasan yang terlibat ialah di Perak (Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim); Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat); Jelebu, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Amaran sama dikeluarkan sehingga pukul 5 petang ini bagi Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Limbang.

Sementara itu, amaran MetMalaysia yang dikeluarkan pada 12.30 tengah hari memaklumkan hujan lebat berterusan peringkat buruk sehingga esok (10 Mac) di Sabah melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Amaran hujan berterusan peringkat waspada turut dikeluarkan bagi kawasan di pantai barat Sabah.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.