AGENDA

TUDM: Jangan cemas hanya latihan operasi, kesiapsiagaan hingga 7 Mac

3 Mac 2022, 2:29 AM
TUDM: Jangan cemas hanya latihan operasi, kesiapsiagaan hingga 7 Mac

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan bagi aset-aset udara bermula hari ini hingga 7 Mac membabitkan kawasan sekitar Selangor, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang latihan berlangsung, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu khususnya di sekitar Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu; Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan latihan yang diadakan itu bagi menilai kecekapan anggota dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.

"Latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter," menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.