ad
AGENDA

MetMalaysia: Luruan monsun melemah, cuaca semakin baik

28 Feb 2022, 10:05 AM
MetMalaysia: Luruan monsun melemah, cuaca semakin baik

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Luruan monsun yang melanda negara telah pun melemah dan keadaan cuaca dijangka bertambah baik mulai 1 hingga 7 Mac ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh ramalan, cuaca pada sebelah pagi dijangka hujan di satu dua tempat sahaja di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.

“Pada sebelah petang hingga awal malam, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat dan timur Sabah,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua untuk kawasan perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa hingga 1 Mac ini.

MetMalaysia turut menasihati orang awam agar sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini dan sahih.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.