ad
AGENDA

Cuaca panas, ribut petir silih berganti dalam tempoh dua minggu

19 Apr 2023, 2:13 AM
Cuaca panas, ribut petir silih berganti dalam tempoh dua minggu

SHAH ALAM, 19 APRIL: Malaysia diramal mengalami cuaca panas dan ribut petir silih berganti dalam tempoh seminggu hingga dua minggu akan datang berikutan perantaraan monsun.

Felo Akademi Sains Malaysia berkata situasi itu juga menyaksikan cuaca panas kering yang boleh meningkatkan risiko kebakaran di kawasan tanah gambut, lapor Astro Awani.

Menurut Fredolin Tajudin Tangang, cuaca yang berubah-ubah kepada ribut petir turut mengakibatkan banjir kilat khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

“Kita harus ambil maklum, jika berlaku kebakaran hutan terutama tanah gambut, ia sukar untuk dipadamkan dan pasti menyebabkan jerebu yang mendatangkan masalah lain.

"Kalau boleh kita tidak mahu jerebu yang berbulan-bulan kerana ia akan mendatangkan masalah kesihatan dan sebagainya," katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata pemantauan berterusan perlu dibuat di kawasan hutan dan semak kering bagi mengelak kebakaran selain menyelenggara sistem perparitan untuk menampung curahan hujan lebat.

Sebelum ini, Menteri Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan cuaca panas dialami negara sekarang dijangka berpanjangan sehingga Ogos berikutan peralihan monsun.

Beliau berkata keadaan itu dialami semua negeri dengan bahagian paling terasa di utara dan pantai timur.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.