ad
AGENDA

Kesan banjir di Hulu Langat paling teruk, proses pembersihan giat dilaksana

29 Dis 2021, 11:31 AM
Kesan banjir di Hulu Langat paling teruk, proses pembersihan giat dilaksana
Kesan banjir di Hulu Langat paling teruk, proses pembersihan giat dilaksana

HULU LANGAT, 29 DIS: Proses pembersihan kesan banjir di Hulu Langat perlu diberi lebih fokus susulan keadaannya yang paling teruk terjejas akibat kejadian itu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata daerah itu paling teruk mengalami kerosakan diikuti Sri Muda di Shah Alam dan Bukit Lanchong di Subang Jaya.

"Hulu Langat memerlukan penelitian dan lebih fokus dalam proses pembersihan susulan kerosakan agak teruk selain kepadatan penduduk.

"Tempat lain yang ditenggelami air juga mengalami kerosakan tetapi tidak seteruk di sini," katanya selepas proses pembersihan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini, yang turut disertai EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei.

Amirudin berkata setakat ini pembersihan berjalan lancar dan kutipan sampah juga dipertingkatkan berbanding sebelum ini.

"Strategi mewujudkan stesen pemindahan sampah berkesan apabila banyak kutipan boleh dilakukan. Selain sampah, kita fokus bagaimana hendak menangani lumpur-lumpur sebelum ia kering dan menjadi debu," katanya.

Terdahulu Amirudin meninjau kawasan tanah runtuh di Genting Peras dan turut melepaskan misi bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18, di sini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

[caption id="attachment_502460" align="aligncenter" width="500"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan tilam dan barangan dapur kepada mangsa ketika meninjau kawasan terkesan banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.