ad
AGENDA

Hasil penyelidikan pensyarah Unisel raih kejayaan pada ekspo Selangor

24 Nov 2021, 1:37 AM
Hasil penyelidikan pensyarah Unisel raih kejayaan pada ekspo Selangor
Hasil penyelidikan pensyarah Unisel raih kejayaan pada ekspo Selangor

SHAH ALAM, 24 NOV: Dua kumpulan penyelidik Universiti Selangor (Unisel) meraih kejayaan pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Penyelidikan bertajuk Mikania: Easy Healing Kit berjaya mengangkat sekumpulan pensyarah dari Fakulti Sains Kesihatan diketuai Sarimah Mat Nawi sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.

Manakala sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat diketuai Dr Siti Hasmah Mohtar merangkul tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata Easy Healing Kit merupakan set penjagaan luka merangkumi semburan pencuci tanpa bilas, hydrogel patch dan krim penyembuh yang dirumuskan daripada pokok selaput tunggal.

[caption id="attachment_496805" align="alignleft" width="500"] Dua kumpulan penyelidik Universiti Selangor (Unisel) meraih kejayaan pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto Facebook Unisel[/caption]

"Lebih menarik, Mikania menjadi set penjagaan luka yang lengkap, selamat, mudah dan cepat pertama di Malaysia selain mendapat pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata produk AquaBetel pula produk inovasi makanan ikan mengandungi bahan asas daripada tumbuhan akuatik dan diformulasi bersama ekstrak herba terpilih.

Menurutnya, produk itu membekalkan nutrien bagi keperluan pertumbuhan selain diadun bersama makanan yang mampu bertindak sebagai agen bioaktif untuk meningkatkan tahap imuniti dan daya tahan penyakit.

SRIE 2021 adalah sebahagian daripada acara dianjurkan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung dari 18 hingga 21 November lalu secara hibrid.

Ekspo itu menghimpunkan pelbagai inovasi, penyelidikan dan reka cipta yang disertai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, perkhidmatan awam, persendirian serta syarikat swasta.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.