AGENDA

Tuanku dukacita abai SOP punca jumlah kes Covid-19 naik

23 Ogos 2021, 3:15 AM
Tuanku dukacita abai SOP punca jumlah kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kelalaian rakyat termasuk ahli kenamaan dan selebriti mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) menyebabkan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19 meningkat di seluruh negara.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah kegagalan rakyat mematuhi larangan merentas daerah dan negeri turut menyebabkan situasi bertambah kritikal apabila wujud kluster baharu serta penularan melua

"Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat pemimpin politik, golongan kenamaan dan selebriti yang menyalahgunakan kedudukan untuk sewenang-wenangnya melanggar perintah dikeluarkan," titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Dalam titah Baginda, Sultan Selangor turut berdukacita apabila negeri ini merekodkan bilangan pesakit dan kematian tertinggi dalam negara.

."Beta sedih apabila melihat kesusahan rakyat yang kematian ahli keluarga dan anak-anak kehilangan ibu bapa. Apatah lagi pada saat ekonomi rakyat berada dalam keadaan amat tenat.

"Beta tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat Covid-19 berlaku disebabkan kelalaian kita terhadap penguatkuasaan serta pematuhan SOP dikeluarkan," titah Baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.