AGENDA

Dewan negeri bersidang sembilan hari mulai 23 Ogos

9 Jul 2021, 4:56 AM
Dewan negeri bersidang sembilan hari mulai 23 Ogos

SHAH ALAM, 9 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan bersidang mulai 23 Ogos ini setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Dato' Menteri Besar dalam kenyataan hari ini menyebut persidangan selama sembilan hari hingga 6 September mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

"Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda dan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.

"DYMM Sultan Selangor berkenan berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaan pada 23 Ogos. DNS kemudian akan bersidang selama lapan hari," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Kenyataan sama menyebut surat perkenan daripada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diterima pada 6 Julai selaras peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Amirudin berkata sidang dewan dibuat mengikut tatacara pengendalian piawai yang menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 dan mendapatkan cadangan wakil rakyat sebagai sistem semak imbang.

"Ini juga selaras aspirasi rakyat agar setiap keputusan Kerajaan Negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta mempertingkat usaha mendepani wabak di Selangor," katanya.

Pada 26 Jun, Speaker DNS Ng Suee Lim berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan untuk pembukaan sidang dewan melalui surat yang diutus setiausaha sulit baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.