AGENDA

Cadang sidang dewan negeri Ogos depan, speaker mohon perkenan Sultan

18 Jun 2021, 5:00 AM
Cadang sidang dewan negeri Ogos depan, speaker mohon perkenan Sultan

SHAH ALAM, 18 JUN: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi pembukaan sidang dewan sekitar Ogos depan.

Ng Suee Lim berkata beliau akan mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam masa terdekat dan tindakan susulan bakal diambil sekiranya mendapat perkenan baginda.

"Sekiranya tarikh dicadangkan itu masih dalam tempoh perintah darurat, maka Dato' Menteri Besar (Dato' Seri Amirudin Shari) pula akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

"Ini kerana kita tidak tahu sama ada kerajaan pusat akan melanjutkan darurat yang sepatutnya tamat pada 1 Ogos," katanya kepada Selangorkini.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Suee Lim bagi merancang pembukaan sidang DNS secepat mungkin.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata di peringkat negeri Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian agar Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.