ad
AGENDA

Bangga jadi anak Selangor pertama dapat biasiswa RM1.1 juta

31 Mac 2021, 2:02 PM
Bangga jadi anak Selangor pertama dapat biasiswa RM1.1 juta

SHAH ALAM, 31 MAC: Seorang pelajar perubatan berkongsi perasaan bangga menjadi anak Selangor pertama mendapat pembiayaan pendidikan Kerajaan Negeri berjumlah RM1.1 juta.

Emir Haady Imran Zulkharnain, pelajar termuda di Royal College of Surgeons (RCSI), Ireland berkata pengiktirafan itu besar nilainya dan berjanji menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

"Saya akan berusaha keras bagi menamatkan pengajian seperti dijadualkan pada 2024, ini janji serta komitmen saya kepada negeri dan negara," kata pelajar jurusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan berusia 18 tahun itu.

Emir Haady menerima Biasiswa Selangor Bitara (Bitara) yang disampaikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Program tersebut dijenamakan semula daripada Selangor Brain Bank yang sebelum ini khusus untuk anak Selangor melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran (PhD) di universiti terkemuka dunia.

Emir Haady berjaya menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di STARS International Academy di Kelana Jaya ketika berusia 14 tahun.

Melalui peperiksaan itu, dia memperoleh 6A+ bagi mata pelajaran matematik antarabangsa, fizik, kimia, biologi, bahasa melayu dan matematik, A1 untuk matematik tambahan dan 1B bagi bahasa inggeris.

Pada usia 15 tahun, dia menamatkan pengajiannya dalam peringkat A-Level dengan memperoleh A bagi mata pelajaran kimia dan matematik serta A+ untuk fizik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.