ad
AGENDA

Changkat Menteri jadi hab tani, jamin bekalan makanan cukup

26 Mac 2021, 12:08 PM
Changkat Menteri jadi hab tani, jamin bekalan makanan cukup
Changkat Menteri jadi hab tani, jamin bekalan makanan cukup

SABAK BERNAM, 26 MAC: Kerajaan Selangor hari ini melancarkan hab sekuriti makanan bagi memastikan kelangsungan bekalan di seluruh negeri melalui projek pertanian.

Projek rintis di Selangor Smart Agro Park, Changkat Menteri di sini dibangunkan atas tanah seluas 2,400 ekar milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata antara tanaman yang bakal diusahakan di pusat pertanian moden itu ialah jagung, pisang, cili, nenas dan kelapa.

[caption id="attachment_465803" align="alignleft" width="500"] Dato' Seri Amirudin melawat tapak pameran ketika Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Hab Sekuriti Makanan Selangor Smart Agro Park di Changkat Menteri, Sabak Bernam pada 26 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

“Ini antara bekalan berkualiti dan bernilai yang mendapat permintaan tinggi.

"Apa yang dilakukan ini juga terkandung dalam pakej pemulihan ekonomi negeri iaitu bekalan makanan mencukupi dengan dana permulaan RM50 juta,” katanya dalam sidang media di sini.

Amirudin turut menyasarkan sebanyak 2,000 ekar tanah dibangunkan setiap tahun bagi tujuan sama di beberapa lokasi antaranya Sungai Air Tawar dan Pulau Carey.

Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang dibentang pada 13 Julai 2020 menekankan tiga tonggak utama dalam menangani dampak Covid-19.

Usaha meliputi jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dengan nilai ekonomi berjumlah RM55.85 bilion.

Langkah-langkah yang diambil meliputi:

1. Menambah pembukaan kawasan pertanian di atas tanah milik kerajaan dengan mewartakannya serta

penggunaan tanah yang belum dimajukan

2. Meningkatkan aktiviti pengeluaran di Kawasan Tanaman Kekal Pertanian Makanan (TKPM)

3. Memperkasa PKPS dalam aktiviti pertanian makanan dan menjadi peneraju utama sektor pertanian makanan di Selangor

4. Meningkatkan jumlah insentif kepada agropreneur seperti input pertanian, baka ternakan dan peralatan khususnya golongan nelayan

5. Menggiatkan kaedah pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan akuaponik, projek tanaman bertingkat dan penggunaan teknologi seperti dron, sensor dan aplikasi dalam talian

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.