AGENDA

Jangan ambil risiko redah jalan banjir, utamakan keselamatan - polis

3 Jan 2021, 8:59 AM
Jangan ambil risiko redah jalan banjir, utamakan keselamatan - polis

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Pengguna jalan raya dinasihatkan agar tidak mengambil risiko meredah jalan yang banjir untuk meneruskan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, orang ramai perlu memikirkan keselamatan mereka susulan banyak jalan yang telah dinaiki air dan aliran air deras boleh mengundang padah.

“Pengguna jalan raya perlu bersikap berhati-hati dan jangan mengambil risiko untuk melakukan perjalanan, sekiranya jalan yang dilalui dinaiki air.

“Berhati-hatilah semasa musim banjir ini. Tidak perlu keluar, jangan keluar, duduk sahaja di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hari ini Bernama melaporkan seorang lelaki dipercayai hanyut bersama kenderaannya di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, jam 8 malam tadi selepas menyelamatkan isterinya ketika air naik mendadak sewaktu mereka cuba melalui jalan berkenaan.

Terdahulu, beberapa video turut tular di media sosial menunjukkan pengguna motosikal yang cuba meredah jalan yang banjir dan dilimpahi air deras sebelum mengalami kemalangan.

Satu video tular itu juga menunjukkan motosikal milik seorang lelaki hanyut dibawa arus deras namun penunggang dan penumpangnya berkenaan sempat menyelamatkan diri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.