AGENDA

Kerja baiki paip pecah Seksyen 15 siap sepenuhnya malam ini

29 Dis 2020, 7:35 AM
Kerja baiki paip pecah Seksyen 15 siap sepenuhnya malam ini

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerja pembaikan paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kerja tersebut sedang giat dijalankan dan kini mencapai tahap 54 peratus.

"Kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini dan bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna selepas itu," kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air susulan insiden paip pecah pagi tadi.

Bekalan air bagi wilayah terbabit ditutup bermula jam 1 tengah hari dan tempoh pemulihan bergantung kepada lokasi serta jarak premis.

Status gangguan bekalan air boleh didapati melalui laman web http://www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.