AGENDA

Penularan tempatan dominasi kes baharu Covid-19

10 Sep 2020, 10:23 AM
Penularan tempatan dominasi kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 10 SEPT: Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat kepada 45 berbanding 24 semalam, membabitkan 44 penularan tempatan dan satu kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import tunggal direkodkan di Selangor merupakan seorang rakyat tempatan yang pulang dari Brazil.

“Daripada 44 kes penularan dalam negara, 11 dalam kalangan warganegara dan 33 warga asing," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Kedah merekodkan empat kes baharu iaitu satu kes Kluster Sungai, dua kes Kluster Telaga manakala satu kes saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

“Di Sabah, 40 kes baharu adalah Kluster Benteng Lahad Datu dengan 33 kes warga asing dan bakinya warganegara,” katanya menambah jumlah keseluruhan kes kini 9,628 dengan 333 daripadanya aktif.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 24 individu lagi berjaya sembuh menjadikan jumlah pesakit pulih sebanyak 9,167 kes.

Katanya, terdapat sembilan kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan lima memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.