ad
AGENDA

MB anggap petugas perubatan melawan Covid-19 seperti pejuang merdeka

29 Ogos 2020, 9:29 AM
MB anggap petugas perubatan melawan Covid-19 seperti pejuang merdeka

SHAH ALAM, 29 OGOS: Pengorbanan petugas perubatan memerangi pandemik Covid-19 dianggap seperti pejuang kemerdekaan yang bertarung nyawa demi menyelamatkan negara daripada musuh.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata semangat mereka membolehkan rakyat hidup dalam suasana aman dan selesa ketika seluruh dunia berdepan ancaman wabak.

"Setiap kali sambutan kemerdekaan, kita diingatkan tentang perjuangan terdahulu yang menyelamatkan negara daripada penjajah serta menyingkirkan musuhnya.

"Sebagaimana semangat tersebut, saudara-saudari di hadapan saya (pegawai perubatan) sebenarnya pejuang terkini yang mempertahankan negara ketika Covid-19.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua selaku barisan hadapan yang memastikan kita dapat menyambut kemerdekaan dalam suasana bebas," katanya menerusi video Merdeka Kita yang diterbitkan Media Selangor Sdn Bhd.

Video itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki bernama Iman yang terpaksa ditinggalkan ibu dan bapanya demi memenuhi tugas sebagai kakitangan perubatan.

Hubungannya yang kian renggang dipersoal, namun dijelaskan oleh datuknya sehingga kanak-kanak itu sedar kedua-dua orang tuanya sedang berjuang merawat pesakit Covid-19 di hospital.

Iman kemudian mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka bagi memastikan orang disayanginya terhindar daripada jangkitan wabak.

"Mama dan abah perlu pakai penutup muka ini. Bukankah mama dan abah mahu berperang? Mama dan abah perlu tutup muka daripada musuh, jika tidak kalah nanti...Bukankah kita mahu merdeka?," kata-katanya dalam video tersebut dipetik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.