SHAH ALAM, 27 APRIL: Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Awam Taman Megah di Petaling Jaya, ditutup mulai hari ini untuk proses nyahkuman.
Langkah itu susulan seorang peniaga di salah sebuah pasar tersebut disahkan positif Covid-19 kelmarin, selepas mengalami demam panas.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui kenyataan di Facebook memaklumkan penutupan dibuat atas arahan Datuk Bandar Dato' Mohd Sayuthi Bakar sehingga diberitahu kelak.
Sementara itu, memetik portal Malaysiakini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Jaya Johary Anuar mengarahkan semua peniaga di pasar tersebut menjalani ujian saringan kesihatan, Rabu ini.
"Bagi mereka yang menunjukkan gejala disarankan untuk segera ke hospital untuk pemeriksaan," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penutupan sementara Pasar Awam Taman Megah susulan seorang peniaga yang disahkan positif Covid-19.
Berikutan itu, seramai 60 peniaga di premis tersebut turut menjalani ujian dan saringan Covid-19 serta pengesanan kontak rapat dilakukan.


