SASTERA

Anjing yang menyalak di halaman sajak

19 Okt 2018, 3:28 AM
Anjing yang menyalak di halaman sajak

Sore yang perengus sering menghambatnya pulang

ke dalam sajak, digonggong matahari seperti tulang

yang direbutkan bersama bayangnya sendiri

di lopak-lopak gelojak

senja yang menerkam ngongoian sunyi

di labirin diksi, kembali ke rumah peribadi.

Kita yang terusir, disalak sepanjang malam

tuan-tuan rumah masih tertidur

berselubung dalam metafora yang tidak lagi

sehangat manifesto pilihan raya

estetika cuma lampu malap di loteng

dikerumuni kelekatu dan burung hantu

sembari pencuri hampir usai mengumpil pintu.

Aduhai aneh sekali

bila kembali sebagai orang asing

bahasa tumbuh menjadi daging

tapi kucing kehilangan taring

dan anjing masih lagi menyalak bukit.

Nasser Mikraj

Penampang

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.