KLANG, 15 SEPT: Hadiah Sastera Selangor (HSS) terus diraikan sebagai wadah yang membuka ruang adil kepada penulis seluruh negara tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
Pemenang utama kategori cerpen, Lokman Hakim menyifatkan usaha ini sangat berharga kerana meraikan penulis muda yang berani bereksperimen di samping tetap menghargai sumbangan penulis veteran.
"Saya sangat kagum dengan usaha ini sebab ia tidak bersifat sepihak, sebaliknya cuba merangkumi semua pihak dalam dunia penulisan. Saya rasa sangat dihargai," katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan baru-baru ini.
Lokman yang kini sudah empat kali meraih kemenangan menjelaskan, setiap karyanya ditulis bukan dengan tujuan memburu hadiah, sebaliknya sebagai ruang menyuarakan solusi terhadap isu-isu semasa.
"Saya tidak pernah menyasarkan kemenangan, tetapi saya percaya setiap cerpen yang baik harus cuba menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Inspirasi saya datang daripada isu semasa, contohnya karya yang menang kali ini bertolak daripada isu Palestin-Israel," ujarnya.
Menurutnya, bentuk cerpen yang dipilih dalam penulisannya memberi peluang untuk mengetengahkan mesej alternatif, walaupun kadangkala bersifat radikal dan barangkali sukar dicapai dalam realiti semasa.
"Jadi saya cuba menyajikan suatu solusi melalui cerpen itu walaupun ia agak kecil," jelasnya.
Lokman menambah, Hadiah Sastera Selangor menjadi platform penting kerana membuka ruang luas kepada generasi muda untuk bereksperimen dengan gaya penulisan, sambil mengekalkan keseimbangan dengan karya penulis berpengalaman.
"Jadi agak seimbang bagi usaha membuka peluang kepada setiap pihak dalam dunia sastera ini," ujarnya.
Sementara itu, penulis Muziru Idham berkongsi tujuan beliau menulis bukanlah untuk mengejar kemenangan atau ganjaran, tetapi sebagai usaha menyampaikan buah fikiran kepada masyarakat.
"Saya menulis bukan kerana mahu menang, tapi sebab saya ada buah fikiran dan suara yang ingin disampaikan. Menulis bagi saya adalah satu tanggungjawab," jelasnya.
Tambahnya, kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka, namun diterima dengan penuh rasa syukur serta kesedaran bahawa ia membawa amanah untuk terus berkarya.
"Saya sendiri tidak sangka akan menang dalam tiga bahagian. Tapi mungkin ada sesuatu dalam karya saya yang menyentuh pihak juri. Saya anggap ini sebagai satu rezeki ataupun satu pesan daripada Tuhan untuk saya terus menulis," katanya.
Muziru turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor atas usaha meneruskan Hadiah Sastera Selangor selepas sedekad, dan berharap ia akan terus menjadi platform penting untuk mengangkat suara penulis tempatan.
"Ia satu usaha yang baik untuk menyemarakkan penulisan dan memberi ruang kepada penulis menyumbang kepada masyarakat melalui karya mereka," ujar penulis yang dinobatkan penerima tiga hadiah penghargaan dalam kategori esei Hadiah Sastera Selangor 2025 itu.
Majlis penganugerahan pada 11 September lalu menyaksikan sembilan penulis karya kreatif tanah air diumum sebagai pemenang utama Hadiah Sastera Selangor 2025.
Bagi karya yang dinilai dari 2022 hingga 2024, pemenang utama kategori cerpen, puisi dan esei masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,000, manakala 27 penulis lain menerima RM1,500 sebagai hadiah penghargaan. Secara keseluruhan, jumlah hadiah ditawarkan bernilai RM94,500.