KLANG, 16 SEPT: Barisan juri berwibawa dan proses penilaian yang telus menjadikan Hadiah Sastera Selangor (HSS) sebuah medan penting dalam menghargai dan meraikan pengkarya tanah air, tanpa mengira latar belakang mereka.
Bagi Qurratul Ain, penulis berasal dari Selangor yang tidak menyangka karyanya dipilih dalam kategori esei, anugerah kali ini dianggap sebagai lonjakan baharu dalam perjalanan kreatifnya.
"Selama ini saya menulis sajak. Jadi apabila menang kategori esei, apatah lagi hadiah utama untuk dua tahun berturut-turut, saya benar-benar terkejut. Mungkin ini langkah baharu untuk saya teroka genre esei pula," katanya selepas majlis penganugerahan HSS 2025 baru-baru ini.
Beliau yang pernah menerima penghargaan pada tahun 2021 berkata, kemenangan kali ini lebih bermakna kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-10 penganjuran semula anugerah tersebut.
"Saya melihat HSS semakin matang. Nama-nama baharu muncul dengan karya segar, ada yang bersifat eksperimental tetapi bukan sembarangan. Ini menunjukkan anugerah ini berkembang secara progresif dan berkualiti," ujarnya.
Menurutnya, HSS penting kerana bukan sahaja menghargai penulis mapan, malah memberi ruang kepada suara-suara baharu yang jarang mendapat tempat dalam arus perdana.
"Hadiah ini mungkin namanya Selangor, tetapi ia bersifat inklusif. Karya tidak ditentukan dari mana penulis berasal, sebaliknya oleh ketekunan dan kematangannya.
"Saya harap tradisi ini berterusan, jangan berhenti. Ini satu tradisi yang penting dalam kesusasteraan Malaysia. Angkatlah karya-karya segar dengan penilaian berkualiti, agar sastera terus hidup dalam denyut masyarakat," katanya.
Majlis penganugerahan pada 11 September lalu menyaksikan sembilan penulis tanah air diumum sebagai pemenang utama Hadiah Sastera Selangor 2025.
Bagi karya yang dinilai dari tahun 2022 hingga 2024, pemenang utama bagi kategori cerpen, puisi dan esei masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,000, manakala 27 penulis lain menerima RM1,500 sebagai Hadiah Penghargaan.
Secara keseluruhan, jumlah hadiah yang ditawarkan tahun ini bernilai RM94,500.