ad
BERITA UTAMA

Jabatan Perdana Menteri tubuh badan khas, pantau rasuah kakitangan

1 Jun 2018, 8:23 AM
Jabatan Perdana Menteri tubuh badan khas, pantau rasuah kakitangan
Jabatan Perdana Menteri tubuh badan khas, pantau rasuah kakitangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JUN: Pusat Governans Intergriti dan Anti Rasuah (GIACC) ditubuhkan bagi memantau sebarang salah laku rasuah membabitkan kakitangan kerajaan.

Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, penubuhannya seiring hasrat Kerajaan Pakatan Harapan dalam memastikan tatakelola pentadbiran Putrajaya telus dan bebas rasuah.

"Pusat ini bertangunggjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, intergriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

"Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui perdana menteri adalah untuk memastikan 21 janji berkaitan governans, integriti dan anti rasuah yang dikenalpasti terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan, dalam fasa tertentu," menurut JPM dalam kenyataannya.

JPM memaklumkan, penubuhan badan itu juga tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang agensi lain sedia ada.

Sebaliknya, agensi rasuah lain akan distruktur semula mengikut kesesuian fungsi penubuhan GIACC.

Pada masa sama, GIACC bakal diterajui Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang dipersetujui lantikannya oleh perdana menteri.

"Semua cadangan penambahbaikan oleh GIACC akan dibentangkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk diputuskan.

"JKKMAR ini ditubuhkan dengan berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju governans, integriti dan anti rasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti Rasuah yang bakal digubal kelak," kata kenyataan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.