SHAH ALAM, 10 JAN: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau addendum berada dalam fail atau rekod rasmi di bawah bahagian itu.
"BHEUU juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara berkenaan.
"Sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
BHEUU katanya sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain sedia ada.
"Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur ditetapkan," katanya.
Menurut BHEUU, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya kali ke-61 diadakan pada 29 Januari 2024 dengan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan mesyuarat itu mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu BHEUU menyatakan sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan, ia tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan, kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan," katanya.
BHEUU berkata prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88] dan semua dokumen berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli Lembaga Pengampunan dan individu diberi kuasa secara langsung oleh lembaga berkenaan.
"Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti," menurutnya.
BHEUU juga berkata Lembaga Pengampunan adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya sebuah agensi atau jabatan kerajaan di bawah bahagian itu.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada 6 Januari lalu memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Addendum pada Januari 2024.
Titah Addendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.