SHAH ALAM, 29 NOV: Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada susulan dakwaan taktik penipuan baharu membabitkan beg berisi wang tunai yang digantung pada tombol pintu rumah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes seumpama itu.
Bagaimanapun, beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi berkenaan.
Perkara itu susulan penularan mesej di media sosial dan WhatsApp berserta gambar beg plastik lut sinar berisi ikatan wang kertas termasuk RM50 yang digantung pada pemegang pintu, lapor Harian Metro.
Mesej itu mendakwa sindiket penipuan dan pemberi pinjam wang tanpa lesen atau along menggunakan taktik berkenaan bagi memerangkap pemilik rumah.
Sindiket terbabit didakwa merakam tindakan pemilik rumah mengambil wang sebelum menggunakan rakaman itu sebagai bukti kononnya mereka bersetuju membuat pinjaman.
Pemilik rumah kemudiannya dikatakan diugut dan didesak supaya membayar semula wang berkenaan berserta kadar faedah melampau.
Taktik itu juga didakwa digunakan penjenayah bagi mengenal pasti sama ada sesebuah rumah berpenghuni sebelum cuba melakukan pecah rumah.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau membawa masuk wang berkenaan ke dalam rumah.
Orang ramai turut diminta merekodkan penemuan itu, memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain memaklumkan kepada polis dan jiran.








