SHAH ALAM, 10 OKT: Penggunaan pembayaran digital semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan dan peniaga kerana memudahkan urusan jual beli, menjimatkan masa serta mengurangkan keperluan membawa wang tunai.
Bagaimanapun, peniaga berpandangan pembayaran tunai masih perlu disediakan sebagai pilihan, khususnya bagi warga emas, penduduk luar bandar dan ketika berlaku gangguan sistem transaksi digital.
Perkembangan itu selari dengan peningkatan transaksi DuitNow QR yang melonjak lebih dua kali ganda kepada tiga bilion pada 2025, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Peniaga, Terrance Wong, 38, berkata kebanyakan pelanggannya kini lebih gemar membuat pembayaran digital kerana proses transaksi lebih mudah dan mengurangkan risiko kesilapan pengiraan wang tunai.

Menurutnya, kaedah itu turut memudahkan pengurusan hasil jualan kerana peniaga tidak perlu menyimpan wang secara fizikal.
“Pelanggan lebih gemar membayar secara digital berbanding tunai dan kalau bayar secara digital, duit mesti masuk dengan betul.
“Saya juga selalu membeli-belah menggunakan kaedah pembayaran digital iaitu kad kredit,” katanya kepada Media Selangor.
Namun, Terrance berkata wang tunai masih diperlukan terutama apabila sistem pembayaran mengalami gangguan.
“Contohnya kalau saya nak isi minyak RM50 dan terminal online rosak, bayar tunai di kaunter terus sahaja, lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, Nurmaizafitra Jasman, 38, berkata peniaga perlu mengekalkan kedua-dua kaedah pembayaran bagi memastikan semua pelanggan dapat berurus niaga tanpa halangan.

Menurutnya, tidak semua pengguna mahir menggunakan teknologi, terutama warga emas yang turut berdepan risiko penipuan dalam talian.
“Pelanggan yang membeli juga daripada pelbagai golongan termasuk warga emas yang kurang mahir menggunakan teknologi pembayaran digital dan berisiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Bagi Noor Asmalinda Wang Long, 38, pembayaran digital lebih praktikal untuk pembelian dalam kuantiti besar kerana pelanggan tidak perlu membawa wang tunai yang banyak.
Beliau berkata kaedah itu juga memudahkan peniaga menyimpan rekod transaksi serta mengurangkan keperluan ke bank untuk memasukkan hasil jualan.
“Kalau untuk pembelian dalam kuantiti yang sedikit, pembayaran tunai masih relevan.
“Tapi kalau pelanggan nak beli secara pukal, pembayaran secara digital lebih sesuai, tak perlu bawa wang tunai yang banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Ting Hua, 42, berkata penggunaan wang tunai masih menjadi pilihan sebahagian penduduk luar bandar walaupun kemudahan pembayaran digital semakin meluas.
“Transaksi menggunakan wang tunai masih penting khususnya di kawasan luar bandar seperti kampung yang masih mengutamakan kaedah berkenaan walaupun penggunaan pembayaran digital semakin berkembang,” katanya.







