Arab Saudi pintas tiga peluru berpandu Houthi ke arah Riyadh

29 Nov 2026, 2:39 AM
Arab Saudi pintas tiga peluru berpandu Houthi ke arah Riyadh

ISTANBUL, 29 NOV: Pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman pada awal Ahad memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan tiga peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Wilayah Timur Arab Saudi dan ibu negara Riyadh, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap pakatan itu Turki al-Maliki berkata pemintasan dua peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Wilayah Timur menyebabkan serpihan jatuh, namun tiada orang awam dilaporkan cedera.

Al-Maliki berikrar untuk bertindak balas terhadap sebarang cubaan menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam.

Dalam kenyataan berasingan, pakatan itu memaklumkan bahawa pihaknya memusnahkan sebuah pelancar peluru berpandu balistik di wilayah Saada, utara Yaman, yang digunakan Houthi untuk menyerang Jazan di Arab Saudi.

Pada Sabtu, pakatan itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memintas dan memusnahkan lima peluru berpandu yang dilancarkan Houthi ke arah Arab Saudi, manakala pihak Pertahanan Awam negara itu mengeluarkan lapan amaran kecemasan di seluruh negara.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika serangan peluru berpandu dan dron Houthi yang menyasarkan Arab Saudi semakin meningkat.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.