KUALA KUBU BHARU, 29 NOV: Penganjuran Festival Makanan Warisan Selangor 2026 disifatkan sebagai platform penting memperkenalkan kuih tradisional kepada generasi muda, khususnya golongan Gen Z yang kurang mengenali makanan warisan tempatan.
Pengunjung, Asrul Sani Mohd Ali, 44, berkata inisiatif mengedarkan Tat Bengkulu secara percuma mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kewujudan kuih tradisional yang semakin kurang dikenali generasi baharu.
Katanya, penganjuran seumpama itu wajar diteruskan secara berkala bagi mengetengahkan kepelbagaian makanan warisan kepada masyarakat luar Selangor.
“Kalau tanya sayalah jujur, event ni dia orang boleh ketengahkan ataupun maybe enam bulan sekali ke apa ke untuk buat pameran kuih tradisional.
“Mungkin ada kuih-kuih tradisional lain yang perlu diketengahkan untuk diperkenalkan kepada bukan Selangor sahaja, mungkin termasuk negeri lain juga,” katanya ketika ditemui pada festival berkenaan di Dataran Warisan, di sini, hari ini.
Sementara itu, perunding jualan, Irzabaah Buyong, 44, berkata pengedaran Tat Bengkulu secara percuma dapat memberi peluang kepada masyarakat, khususnya golongan muda, mengenali dan mencuba kuih tradisional yang mungkin tidak pernah mereka temui sebelum ini.
“Kebanyakannya memang tak kenallah ni kuih apa kan.
“Jadi kalau dia orang dah dapat percuma, sedap, orang kata kena cari benda ni lagi,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran festival makanan warisan di Hulu Selangor sebagai antara program yang menarik dan wajar diteruskan bagi memperkenalkan makanan tradisional kepada lebih ramai pengunjung.
Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Rahmat Kassim, 62, dan Jamilah Saidin, 58, berkata festival berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mengenali makanan warisan yang semakin jarang ditemukan.
Jamilah berkata, beliau pertama kali mengetahui dan melihat Tat Bengkulu menerusi festival berkenaan, sekali gus tertarik dengan keunikan bentuk serta kaedah pembuatannya.
“Pertama kali tahu, tak pernah makan dan tak pernah tengok pun.
“Rasa macam istimewalah, lain daripada yang lain. Nanti mungkin nak cari lah macam mana pembuatan dia,” katanya.
Beliau turut menyambut baik usaha memperkenalkan semula makanan tradisional yang menggunakan bahan dan kaedah penyediaan lama, memandangkan kuih seumpamanya semakin sukar ditemukan di pasaran.
“Ya, betul. Saya sokong sebabnya di pasaran sekarang kita memang tak nampak pun kuih-kuih ni dijual.
“Tak ada yang tradisional gunakan apa cara pembakaran, cara pembuatan dia kan. Dah tak ada dah gunakan barang-barang yang lama yang kita guna sejak dulu lagi,” katanya.
Jamilah berkata, usaha memperkenalkan makanan warisan kepada generasi baharu wajar diteruskan bagi memastikan keunikan gastronomi tradisional tidak dilupakan.








