SHAH ALAM, 28 NOV: Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok di Kuala Selangor ditutup pada jam 2.15 petang hari ini, manakala 662 mangsa banjir masih berlindung di PPS di Kuala Langat.
Penutupan itu diisytiharkan Pegawai Daerah Kuala Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohd Raiz Radzuan menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana berkenaan.
Berdasarkan data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 703 mangsa daripada 218 keluarga direkodkan di empat PPS di Selangor sebelum mengambil kira penutupan pusat pemindahan itu.
Daripada jumlah tersebut, 41 mangsa daripada 12 keluarga direkodkan di Kuala Selangor, manakala selebihnya membabitkan 206 keluarga di Kuala Langat.
Di Kuala Langat, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang di Mukim Dengkil yang dibuka pada 25 November menempatkan 648 mangsa daripada 202 keluarga.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang di mukim sama yang mula beroperasi sehari kemudian pula menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga.
Satu lagi PPS di Balai Raya Kampung Sungai Kelambu, Mukim Tanjung Sepat yang dibuka sejak 19 November tidak merekodkan sebarang mangsa.





