KUALA LANGAT, 25 NOV: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya yang dipercayai dijerut hingga maut di sebuah rumah di Banting, awal bulan ini.
Tertuduh, SM Madavan, 27, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh ibunya, V Kanagavalli, 51, di sebuah rumah di Taman Banting Baru, Banting, antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi pada 13 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Januari 2027 untuk sebutan semula kes.
Pada 16 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan.






