Jenazah Sasterawan Negara A Samad Said selamat dikebumikan

25 Nov 2026, 4:21 AM
Jenazah Sasterawan Negara A Samad Said selamat dikebumikan
Jenazah Sasterawan Negara A Samad Said selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Jenazah Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini jam 10.55 pagi ini.

Terdahulu, lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar yang dipimpin Imam 1 masjid berkenaan Muhammad Abid Ayub.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan berkenaan ialah veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Mohd Radzi serta tiga Sasterawan Negara iaitu Datuk Dr Anwar Ridhwan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hazami Jahari serta penyanyi dan komposer terkenal Datuk M Nasir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

A Samad Said yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.