SHAH ALAM, 20 NOV: Tiada anggota keselamatan boleh berlindung di sebalik pangkat, jawatan atau seragam untuk terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti terlibat dalam kegiatan jenayah.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh menegaskan prinsip itu mesti ditegakkan susulan cubaan penyeludupan dadah seberat 96.64 kilogram bernilai RM4.83 juta menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera di Pangkalan Udara Subang, Selasa lalu.
Menurutnya, kes berkenaan bukan sekadar membabitkan kegiatan penyeludupan dadah, sebaliknya turut menyentuh soal integriti, disiplin dan amanah anggota yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara.
“Prinsipnya mudah, tiada siapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.
“Tindakan tegas, telus dan menyeluruh perlu diambil supaya menjadi pengajaran bahawa uniform, jawatan atau kedudukan dalam organisasi bukan lesen untuk melakukan jenayah,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor.
Zaki berkata kemudahan, aset dan infrastruktur ketenteraan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi, apatah lagi bagi menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Beliau mengakui insiden membabitkan penyalahgunaan kemudahan pengangkutan tentera itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan anggota TUDM mengesan dan menggagalkan cubaan penyeludupan berkenaan membuktikan mekanisme pengawasan serta penguatkuasaan dalaman masih berfungsi.
“Insiden pada 17 November lalu itu menunjukkan pemeriksaan rutin keselamatan bukan sekadar prosedur biasa, sebaliknya menjadi benteng penting dalam mengesan sebarang ancaman serta penyalahgunaan kemudahan ketenteraan,” katanya.
Menurut Zaki, tindakan pantas anggota yang mengesan bagasi mencurigakan sehingga menemukan bungkusan dadah turut memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan kepekaan petugas keselamatan di pangkalan berkenaan.
Beliau berkata kerjasama Cawangan Provos Marsyal TUDM dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam menjalankan siasatan juga menunjukkan keseriusan menangani kegiatan jenayah tersebut.
Zaki turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyamakan kesalahan individu dengan keseluruhan institusi TUDM sehingga menjejaskan reputasi anggota lain yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.
“Jangan kerana perbuatan segelintir anggota, pengorbanan dan khidmat bakti ribuan anggota TUDM yang menjalankan amanah dengan penuh integriti turut dipersoalkan,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris hari ini mendedahkan cubaan penyeludupan terbongkar selepas petugas mengesan lima bagasi berbalut plastik dan sebuah kotak tanpa pelekat tapisan keselamatan di kawasan ketibaan serta tuntutan barang Pangkalan Udara Subang.
Menurutnya, seorang pegawai TUDM yang dikaitkan dengan bagasi berkenaan dikesan cuba mencampurkannya dengan bagasi lain yang sudah melepasi pemeriksaan mesin pengimbas.
Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan MDMA seberat keseluruhan 96.64 kilogram bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram.
Dalam perkembangan berkaitan, dua anggota TUDM masing-masing berpangkat koperal dan Pegawai Waran II berusia 28 dan 48 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah menggunakan aset ketenteraan.
Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Tawau selepas kedua-dua suspek ditahan dalam operasi polis awal pagi tadi.






