PLATS Transisi Kerjaya bantu individu hilang kerja jana pendapatan, sedia insentif

21 Nov 2026, 1:33 PM
PLATS Transisi Kerjaya bantu individu hilang kerja jana pendapatan, sedia insentif
PLATS Transisi Kerjaya bantu individu hilang kerja jana pendapatan, sedia insentif

GOMBAK, 21 NOV: Sebanyak 110 sesi latihan dilaksanakan menerusi program Platform Selangor (PLATS) Transisi Kerjaya dalam tempoh hampir lima bulan bagi membantu individu kehilangan pekerjaan menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata program itu memberi peluang kepada golongan berkenaan memulakan perniagaan melalui pemasaran 'affiliate' atau sebagai usahawan stokis.

Menurutnya, program tersebut menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 11,000 individu mendaftar dengan 9,000 daripadanya melepasi syarat kelayakan.

Daripada jumlah itu, seramai 3,000 peserta telah menyertai kelas latihan yang disediakan bagi memberi pendedahan mengenai kaedah menjana pendapatan melalui perniagaan.

“Peserta akan diberikan latihan dan pendedahan untuk menjana pendapatan melalui dua kaedah, sama ada sebagai ‘affiliate’ atau usahawan stokis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program ‘Transisi Kerjaya’ PLATS MBI Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, di sini hari ini.

Ahmad Azri menjelaskan program itu ditawarkan secara percuma dengan peserta layak menerima insentif RM50 (one-off) selepas pendaftaran dan hadiri kelas selain kemudahan Internet percuma selama 12 bulan bagi menyokong aktiviti perniagaan mereka.

“Penyertaan terbuka kepada individu berusia 18 hingga 60 tahun yang mempunyai kemahiran asas menggunakan telefon pintar,” jelasnya.

Selain itu, peserta yang belum mempunyai akaun media sosial juga akan dibantu untuk membuka akaun berkenaan bagi membolehkan mereka mengikuti latihan dan memulakan aktiviti pemasaran secara dalam talian.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.