Jelajah U-PLATS Digital perkasa pengurusan perniagaan usahawan Selangor

10 Dis 2025, 4:01 AM

SHAH ALAM, 10 DIS: Platform Selangor (PLATS) meneruskan usaha memperkasa usahawan negeri ini melalui penganjuran Program Jelajah U-PLATS Digital Siri 3 bagi memberi pendedahan menyeluruh dalam pengurusan perniagaan secara moden dan berstrategi.

Program berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu itu menampilkan sesi pembelajaran U-PLATS Modul 1 yang disertai Pengarah Projek U-PLATS, Hazwani Md Sabudin serta Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Kamaruzzaman Abd Rahman.

MPHS memaklumkan program tersebut memberi ruang kepada peserta mempelajari penyusunan strategi perniagaan secara lebih teratur, sistematik dan selari dengan amalan semasa.

“Platform digital diperkenalkan sebagai medium pemasaran lebih efektif bagi mengembangkan idea, meningkatkan capaian dan mewujudkan peluang baharu,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook.

MPHS menegaskan pihaknya komited menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam memodenkan sektor keusahawanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Setakat ini, hampir 100,000 usahawan berdaftar dengan PLATS, platform yang menyediakan bimbingan menyeluruh termasuk pemasaran digital, pemadanan pasaran dan pembangunan jenama tempatan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyeru usahawan termasuk pemain industri kreatif mengambil peluang menyertai program PLATS bagi memperluas pasaran dan memperoleh pengetahuan baharu melalui perkongsian pengalaman.