SHAH ALAM, 19 NOV: Kematian seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Pera, semalam, disahkan berpunca daripada jerutan di leher.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pemeriksaan terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan jerutan, namun tiada kecederaan lain ditemukan, lapor Berita Harian.
“Polis juga sudah meneliti tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan oleh pihak sekolah.
"Berdasarkan rakaman itu, tiada sebarang unsur jenayah atau buli dikesan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata polis sudah merakam keterangan 11 individu terdiri daripada enam pelajar dan lima guru.
“Bagaimanapun, pasukan penyiasat masih merakam keterangan rakan-rakan mangsa bagi mengenal pasti tingkah lakunya sebelum kejadian.
"Mangsa ditempatkan di bilik sakit sekolah berkenaan sejak Isnin lalu, termasuk pada hari dia ditemukan meninggal dunia. Bilik itu dikhaskan untuk pelajar yang tidak sihat atau perlu dibawa ke hospital," katanya.
Beliau berkata CCTV dipasang dalam bilik itu bagi memantau keadaan pelajar yang kurang sihat.
"Berdasarkan rakaman CCTV, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 10.35 pagi. Bagaimanapun, dia hanya ditemui sekitar jam 2.45 petang oleh seorang pelajar lain yang pergi menggunakan tandas," katanya.
Mohd Alwi berkata, tiada kecederaan lain dijumpai pada tubuh mangsa.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) serta tidak disiasat bawah mana-mana kesalahan jenayah tertentu.
Proses bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Taiping, selesai kira-kira jam 1 tengah hari tadi. Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Juasseh, Negeri Sembilan, sekitar jam 3.30 petang.






