Selangor sita enam pusat sembelihan ayam tidak berlesen, lima menyusul

19 Nov 2026, 8:07 AM
Selangor sita enam pusat sembelihan ayam tidak berlesen, lima menyusul

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri mengenal pasti 11 pusat penyembelihan ayam tidak berlesen di Selangor, dengan enam premis sudah dikenakan tindakan sitaan manakala lima lagi bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.

EXCO Agama Islam, Dr Fahmi Ngah berkata tindakan terhadap enam premis itu dilaksanakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) susulan arahan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu.

Menurutnya, arahan berkenaan menyasarkan premis penyembelihan ayam yang beroperasi tanpa lesen dan tidak mempunyai penyembelih bertauliah.

“Arahan telah dikeluarkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada minggu lepas untuk tindakan penguatkuasaan terhadap premis penyembelihan ayam tidak berlesen dan tidak mempunyai penyembelih bertauliah di seluruh Selangor.

“Kemudian enam premis telah diambil tindakan sitaan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dan minggu ini lima lagi akan diambil tindakan. Kita ada mesyuarat di peringkat negeri, di mana semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendedahkan bilangan premis sedemikian.

“Daripada mesyuarat itulah, ada lima yang perlu diambil tindakan penguatkuasaan. Kita sudah selaraskan tindakan, kita akan mulakan dengan sitaan dan diikuti dengan notis perobohan kalau perlu,” katanya kepada pemberita.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) Jabatan Agama Islam Selangor 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Fahmi berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menyiasat semua aduan awam, termasuk yang diterima menerusi media sosial, bagi mengesan premis penyembelihan ayam tidak berlesen yang masih beroperasi atau berpindah ke lokasi baharu.

Menurutnya, aspek pematuhan syarat halal, kebersihan dan keselamatan makanan menjadi keutamaan dalam tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.

“Makan ayam mentah ini bukan soal halal atau tidak. Ia mungkin halal tetapi jika syarat sekuriti makanan tidak dipatuhi, maka pada saya ia tidak wajar dimakan oleh umat Islam termasuk orang bukan Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi menjelaskan Kerajaan Negeri tidak berniat menyembunyikan identiti syarikat atau premis penyembelihan ayam tidak berlesen yang disiasat, sebaliknya perlu mengambil kira implikasi undang-undang.

Katanya, identiti pihak yang terbabit dalam kes sebuah premis di Puchong dijangka diketahui apabila pertuduhan dibawa ke mahkamah sivil pada 24 November ini.

“Ia bukan soal kita takut atau selindung mana-mana pihak. Perkara menamakan syarikat atau individu ini ada implikasi undang-undang. Kita perlu tengok sudut perundangan sesuai.

“Pastinya apabila masuk ke mahkamah nanti, tunggulah di situ. Biar mahkamah umum secara rasmi. Kita tidak boleh ada 'mala fide' (berniat jahat) sebelum kes bermula. Kita perlu jaga adab,” katanya.

Pada Oktober lalu, JAIS merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong.

Premis yang beroperasi sejak 2004 itu dipercayai digunakan untuk penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah, selain didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam proses pengendalian ayam.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.