NADMA lulus hampir RM9 juta bina PPS kekal Parit Mahang

18 Nov 2026, 11:25 AM
NADMA lulus hampir RM9 juta bina PPS kekal Parit Mahang

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan peruntukan hampir RM9 juta bagi pembinaan sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Ijok, yang dijangka mampu menempatkan 500 mangsa banjir tambahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata projek berkenaan masih dalam proses pelaksanaan dan akan dibangunkan di tanah milik sekolah itu.

Menurutnya, kemudahan baharu tersebut penting bagi meningkatkan kapasiti penempatan mangsa, khususnya ketika berlaku banjir berskala besar.

“Berdasarkan rekod 10 tahun lalu, kita pernah menempatkan hampir 1,000 mangsa di PPS ini. Jadi, jumlah 346 mangsa yang ditempatkan sekarang adalah kira-kira satu pertiga daripada kapasiti yang pernah dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor di SK Parit Mahang, Ijok, hari ini.

Mohd Raiz menjelaskan pembinaan PPS kekal itu dijangka meningkatkan kapasiti keseluruhan penempatan mangsa banjir di kawasan sekolah berkenaan kepada 1,500 orang.

“Dengan tambahan kapasiti 500 mangsa itu, keseluruhan kawasan ini dijangka mampu menempatkan sehingga 1,500 mangsa sekiranya berlaku banjir yang lebih besar,” katanya.

Kemudahan tambahan itu dijangka memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir di Parit Mahang, khususnya apabila jumlah penduduk yang memerlukan perlindungan sementara meningkat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.