Tangan kanan atlet angkat berat terpaksa dipotong selepas nahas

18 Nov 2026, 3:35 AM
Tangan kanan atlet angkat berat terpaksa dipotong selepas nahas
Tangan kanan atlet angkat berat terpaksa dipotong selepas nahas
Tangan kanan atlet angkat berat terpaksa dipotong selepas nahas

SHAH ALAM, 18 NOV: Tangan kanan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya susulan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat mengesahkan keputusan itu dibuat atas saranan doktor selepas atlet berkenaan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, pembedahan yang mengambil masa hampir tujuh jam itu selesai kira-kira jam 8.40 malam tadi.

“Setakat pagi ini, kami belum mendapat maklumat sama ada beliau sudah dipindahkan ke wad biasa atau belum kerana masih di bawah kesan bius.

“Setakat selepas jam 4.30 pagi tadi, beliau masih belum sedar dan mungkin mengambil sedikit masa, berkemungkinan pagi ini (untuk sedar),” katanya, lapor Sinar Harian.

Ayub berkata, PABM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) turut memberikan sokongan moral kepada Hafizuddin dan keluarganya bagi menghadapi situasi sukar berkenaan.

Katanya, aspek sokongan psikologi dan kaunseling awal turut diberikan perhatian memandangkan kejadian itu memberi kesan besar terhadap kehidupan atlet berkenaan.

“Kita bersama MSN berada di hospital sejak pagi semalam bagi mengikuti perkembangan keadaannya.

“Kita juga sudah berbincang mengenai keperluan menyediakan kaunseling dan sokongan moral kerana kita faham keadaan ini bukan mudah untuk diterima,” katanya.

Terdahulu, Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.