SHAH ALAM, 22 MEI: Perdana Menteri hari ini meluangkan masa meninjau operasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sambil menyantuni pesakit serta orang ramai yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan itu turut memberi ruang untuk bertanya khabar pesakit selain melihat sendiri suasana perkhidmatan di antara hospital utama negara.
“Ambil kesempatan tinjau operasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini sambil menyapa dan bertanya khabar orang ramai yang sedang mendapatkan rawatan.
“Doa saya agar mereka diberikan kesembuhan, dipermudah segala urusan dan terus dikurniakan kekuatan,” katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan HKL atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memastikan rakyat terus menerima rawatan terbaik.
“Terima kasih kepada seluruh petugas kesihatan HKL yang terus berkhidmat dengan penuh sabar, belas ihsan dan pengorbanan yang besar demi menjaga nyawa serta kebajikan rakyat setiap hari,” katanya.
Lawatan itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan petugas kesihatan yang terus menjadi tulang belakang sistem perubatan negara dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.








